Bismillahirrahmanirrahim~
Alhamdulillah..Catatan hati yang ke-100 dalam blog ini. Daripada permulaan yang sekadar suka-suka sahaja ingin memulakan blog ini, sekarang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya.
Menyelak kembali sebuah buku yang terasa sungguh kaya dengan analogi dan perumpamaan serta kelembutan bahasa, saya tertarik ingin berkongsikan suatu kisah. Kisah tentang awan yang sering terpinggir, yang mana kehadirannya serta pengorbanannya jarang disedari manusia.
Manusia selalu mendongak ke langit, mencari matahari, bulan dan bintang, tetapi terlupa akan adanya awan.
Manusia sering mengagumi keindahan cahaya matahari sedangkan kalau tidak kerana wujudnya awan, cahaya matahari tidak akan seindah itu memancarkan cahanya kalau tidak kerana bantuan awan yang berwarna putih.
Ia seolah-olah kanvas putih membiaskan berbagai-bagai warna di permukaan langit.
Manusia selalu merindui bulan tetapi kadang-kadang merasa terganggu dengan kehadiran awan yang menutup wajah bulan.
Kadang-kadang panas mentari begitu terik menggigit kulit. Kalau tidak kerana ada awan yang melindungi, sudah lama manusia terbakar rentung.
Manusia selalu menanti hujan tetapi terlupa hujan itu juga terjadi kerana awan.
Apabila sinar matahari semakin pedih menikam kulit, manusia semakin dahaga, tumbuhan gersang kekeringan, haiwan merintih kehausan, padang yang menghijau bertukar perang,
Angin sudah tidak mendinginkan lagi malah turut menambahkan keringnya kulit dengan tiupan panas meresahkan, barulah kepala didongakkan ke langit.
Awan tetap setia datang menurunkan hujan dengan penuh kasih walau sedar ia tidak pernah dirindui.
Mereka meraikan dan menari keriangandalam hujan tanpa sepatah terima kasih kepada awan.
Awan hadir dan pergi tanpa dipandang. Ia melindungi dan menyanyangi tanpa disedari.
(My Precious Iris-Melur Jelita)
Dalam kehidupan kita sendiri, ada masanya kita lah awan itu,
berkorban untuk mereka yang disayangi,
tanpa jemu, tanpa mengira masa,
namun, tiada siapa yang seakan peduli.
Dan ada masa juga,
kita akan merasa lelah,
jiwa meronta inginkan perhatian,
hati kuat mengatakan bahawa kita ini turut layak untuk disanjung,
dan dihormati.
Kita terlalu mengambil kira penghormatan daripada manusia,
kita memandang tinggi sanjungan dan penghargaan daripada mereka,
hingga kita terlupa betapa kerdilnya kita pada pandangan Tuhan.
Mungkin saja kita terlupa,
bahawa manusia itu takkan kekal di sisi,
mungkin sahaja kita alpa,
bahawa dunia ini cuma la satu persinggahan,
dan pengakhiran kita adalah syurga yang abadi..
p/s: andai kamu berada dekat bersama alam, dongaklah ke langit, tataplah gumpalan awan yang terbentuk indah. Dan sedarilah, bahawa di sebalik kurangnya perhatian manusia yang mungkin kamu rasakan, bahawa sebenarnya masih wujud insan yang menyayangimu, dengan sembunyi, kerana dia ingin menjadi seperti awan itu, sentiasa melindungimu tampa kamu sedari.
Indeed..sukanya bacaaaaaaaaaaaaa penulisan awak.
ReplyDeleteLove u
suka juga bacaaaaaaaaaaaaaaaa penulisan awak.
DeleteLove you too..
Best sangat baca.. saya sangat suka awan..penuh gambar awan dalam handset.. suka bnda yg manusia jrg hargai
ReplyDelete