Ada seorang sahabat pernah berpesan kepadanya, soal hati dan perasaan tidak boleh dipaksa. Cinta itu tidak bererti harus memiliki. Tetapi, dengan melihat kebahagiaan orang yang kita cintai sudah cukup menggembirakan kita sebenarnya, walaupun hakikatnya bukan kita yang mampu membahagiakan dia.
Buku berkulit tebal itu ditutup. Jam sudah menunjukkan hampir jam satu pagi. Lama mata Syifa merenung buku itu. Buku itu merupakan hadiah daripada seseorang kepadanya.
"Kalau awak rasa sedih, kecewa ataupun marah, tulislah dalam buku ni. Anggaplah yang awak tengah luahkan segala perasaan awak kat saya. Walaupun saya takkan selalu disisi awak, tapi saya tinggalkan buku ni sebagai pengganti diri saya."ucap Firas.
Dan dia benar-benar memaksudkan kata-katanya. Selepas dia memberikan buku itu, dia terus menghilang. Sepi tanpa berita.
"Lupakan saya. Kalau boleh anggaplah kita tak pernah berkenalan pun. Kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Kalau akhirmya nanti, kita still tak dapat bersama, saya tak nak ada antara kita yang akan terluka."kata-kata itu membuatkan Syifa terus jatuh terduduk.
Hampir seluruh hatinya diberikan kepada Firas. Walaupun cuma beberapa bulan berkenalan, tetapi, dia akui, hidupnya benar-benar terisi dengan kehadiran Firas. Dan, tanpa ragu, Syifa mengakui yang dia mengimpikan untuk menjadikan ikatan antara mereka satu ikatan yang halal.
Tingkap biliknya dibuka. Syifa menghirup udara di bumi Ireland ini. Tinggal dua tahun lagi, dia akan selesai menamatkan pengajiannya dan bergelar seorang doktor. Kenangan lalu yang tiba-tiba bertandang terasa menyesakkan fikirannya. Sudah hampir empat tahun peristiwa itu berlaku.
Walaupun di bibir sering mengatakan bahawa segalanya baik, tetapi, Syifa tidak dapat menipu diri sendiri bahawa masih ada sedikit ruang di hatinya yang tersimpan untuk Firas. Walaupun sudah lama mereka terputus hubungan, Syifa akui, dia masih tidak dapat melupakan Firas sepenuhnya.
It takes only a while to fall in love with someone but sometimes it takes the whole lifetime to forget about someone.
2 Tahun Kemudian...
Saat melangkah masuk ke pejabatnya, tanpa mampu ditahan dia tersenyum melihat sepucuk surat yang ada di atas meja. Syifa mula mencongak sendiri. Hari ini hari Isnin. Permulaan hari bekerja untuk minggu yang baru. Dia terus mencapai surat itu dan mula membacanya.
Ke hadapan seorang Syifa..
We cannot change the past to rewrite a better beginning but we can work for the future and strive for a better ending..
Enjoy your day for working today and always remember that all the things we do are only for the sake or Him..
S.H.
Tinggal sebulan sahaja lagi. Status hidupnya akan berubah sama sekali. Kali ini, Syifa tidak mahu terluka lagi. Oleh itu, tiga bulan yang lalu, bila ada orang yang datang merisiknya, Syifa terus menyatakan persetujuannya setelah merisik daripada beberapa orang yang dipercayai.
Zahirnya, dia mungkin kelihatan biasa, tetapi entah kenapa, setelah istikharah yang dilakukan, hati Syifa sangat yakin untuk memilih dia sebagai teman hidupnya. Lagipula, perkara yang elok lebih baik disegerakan. Dan sebaik sahaja mereka bertunang dua bulan yang lalu, setiap hari Isnin Syifa pasti akan menerima sepucuk surat yang bertulis kata-kata motivasi daripada dia.
Jauh di sudut hati Syifa tidak putus berdoa agar keputusannya kali ini tepat. Mereka hanya pernah berjumpa sekali dan kali kedua mungkin ketika majlis akad nikah nanti. Kali ini, Syifa sangat mengharapkan berkat cinta yang halal itu setelah kecundang dalam kisah cinta dahulu. Mengingati Firas, terasa air liur yang ditelan seakan pahit. Kenangan memang sukar dilupakan. Tetapi hatinya tetap yakin, bahawa Firas adalah masa silamnya dan Shahrul Hafizan adalah masa depannya.
*************
Syifa menjejakkan kaki ke kedai buku MPH. Sudah lama dia tidak memebeli buku baru akibat kesibukannya menguruskan klinik yang baru dibuka bersama rakannya, Mawaddah. Dia mula menuju ke rak yang mengumpulkan buku-buku agama dan mencari karya terbaru Hilal Asyraf.
Matanya menangkap buku yang berjudul Untuk Kita Pendosa, Harapan Sentiasa Ada. Baru sahaja dia ingin mengambil buku itu, ada tangan lain yang mengambilnya terlebih dahulu.
"Maafkan saya, tapi buku ni, saya yang jumpa dulu. Encik tak berhak..."ayat Syifa terus termati di situ sebaik sahaja matanya bertaut dengan lelaki yang merampasa buku itu daripadanya.
"Syifa.."bibir Firas bergetar ketika menuturkan sebaris nama itu. Hampir enam tahun tidak bertemu menjadikan Syifa semakin cantik dan matang di matanya.
Syifa terpegun. Tak sangka mereka akan berjumpa kembali. Syifa hampir terleka dengan kemunculan semula Firas tetapi dia pantas tersedar, kisah antara mereka berdua sudah tamat.
"Er..maaf. Saya pergi dulu."Syifa ingin segera melarikan diri dari tempat itu.
"Tunggu, Syifa. Saya nak cakap sesuatu dengan awak."tetapi Syifa langsung tidak mempedulikan Faris dan terus berjalan keluar dari kedai buku MPH itu.
Syifa terus berjalan tanpa henti hingga dia terduduk di kerusi yang terdapat di sekitar. Firas, tanpa suara, dia menuturkan sebaris nama itu. Kenapa dia harus muncul lagi?
************
Comments
Post a Comment