kembali padaNYA..

Prolog

"Macam mana kalau satu hari nanti aku tinggalkan kau?"Safiyyah menyoal bersama senyuman.

Sarah mengerutkan dahi.

"Kau nak tinggalkan aku pergi mana?"

Sekuntum senyuman ditarik di hujung bibir Safiyyah.

"Aku nak berehat dari kesibukan dunia yang memenatkan aku. Aku nak pergi jauh daripada semua ni. Bila dah sampai masa nanti, aku nak kau janji, jangan menangis, aku nak kau kuat. Dan jangan lupa terus doakan aku."kata-kata Safiyyah menyentap jantung Sarah.

"Safi.."terasa bibir Sarah bergetar saat menuturkan nama itu. Kolam matanya mula penuh dengan air mata. Kenapa Safi tiba-tiba jadi pelik macam ni?

Adakah ini satu petanda? Tapi, hatinya masih belum cukup kuat nak lepaskan sahabatnya itu. Safiyyah baginya bukan sekadar seorang sahabat, tetapi murabbi dan penyelamat baginya. Kalau bukan kerana Safiyyah, Sarah mungkin sekarang masih hanyut dalam dunia khayalannya sendiri.

"Janji dengan aku, Sarah.."pinta Safiyyah.

Dengan hati yang berat, Sarah mengangguk sedikit. Dan kolam matanya terus pecah.

1.

"Jom, kita  lunch sama-sama."ajakan Safiyyah hanya dipandang sepi.

Sarah mendongak, memandang wajah Safiyyah. Dia cuba mencari tanda Safiyyah hanya berpura-pura baik terhadapnya, tetapi gagal. Seraut wajah itu begitu tenang dan tampak begitu ikhlas dengan kata-katanya.

"Tinggalkan aku sendiri. Selama ni pun, aku dah biasa makan sorang-sorang. Tak payah pedulikan aku. Lagipun, kau cuma anak orang gaji je. Mana layak nak makan dengan aku sekali."balas Sarah dengan sombong.

Safiyyah menarik senyum.

"Sebab dah biasa makan sorang-sorang lah, biar kali ni aku temankan kau. Lagipun, anak orang gaji ke, anak menteri ke, kita semua sama je pada sisi Allah. Tak ada beza langsung. Last offer dari aku ni, nak tak lunch sekali?Mak aku dah siapkan makanan tu. Lagipun, parents kau dah tentu takkan balik untuk lunch hour ni. Aku cuma kesiankan kau, asyik kena makan sorang-sorang selalu. Nak tak?"

Sarah terdiam seketika. Matanya kembali memandang Safiyyah. Tanpa riak, Sarah bangun.

"Ok.Jom."

2.

     Sarah menguap. Matanya terkedip-kedip, cuba untuk menahan rasa ngantuk yang menggila. Dia menuruni tangga dengan berhati-hati. Kalau ikutkan, Sarah memang malas untuk meninggalkan katilnya pagi-pagi macam ni. Tapi, tekak yang begitu kering memaksanya untuk turun juga mendapatkan  walaupun jam baru menunjukkan pukul tiga pagi.

     Selesai mengisi tekaknya yang dahaga, Sarah berpatah balik untuk naik ke tingkat atas. Tetapi, di pertengahan jalan, langkahnya terhenti tepat di hadapan bilik Safiyyah yang terletak bersebelahan dengan dapur. Sayup-sayup, Sarah mendengar suara Safiyyah sedang mengalunkan sesuatu yang sangat indah didengar.

     Perlahan, Sarah menekapkan telinga ke daun pintu. Cuba mengamati apakah suara yang didengarnya itu? Sebaik sahaja bacaan itu jelas di pendengarannya, terasa hatinya bagai disapa sesuatu. Tenang. Indah. Nyaman. Itu yang dirasakan oleh Sarah sekarang.

     Tanpa sedar, ada titisan jernih yang mengalir keluar dari tubir mata. Sarah kembali tertanya, bilakah kali terakhir agaknya dia mengalunkan kalam suci itu. Bilakah kali terakhir dia menyentuh naskhah agung itu. Perlahan, tubuhnya melurut jatuh, tersandar di tepi dinding. Dan entah kenapa, air matanya terasa mencurah-curah, seakan tidak mahu lagi berhenti.

3.

     Jam utama di ruang tamu sudah menunjukkan tengah malam. Di dalam bilik, Sarah masih belum lena. Dahinya berkerut. Peluh dingin mula menitis di dahi. Giginya diketap kuat, cuba melawan rasa tidak selesa dalam tubuhnya. Perlahan, tangannya diletakkan di dahi. Merasa suhu tubuh badan sendiri. Hangat.

     Sarah menarik selimut membaluti tubuhnya lebih erat. Dia benar-benar kesejukan. Sarah ingin memanggil Mak Jah, pembantu rumahnya untuk naik, tetapi suaranya seakan tersekat.

     Dalam Sarah menahan kesakitan, pintu biliknya ditolak daripada luar. Safiyyah melangkah masuk dengan segelas susu di tangannya.

"Mak kata, setiap malam sebelum tidur, kau akan minum susu kan? Ni aku ada bawakan."Safiyyah meletakkan gelas tersebut di meja sisi yang ada di tepi katil.

Dia menoleh ke arah Sarah yang sedang terbaring. Safiyyah mendekati Sarah. Keningnya tercantum dua. Dia berasa hairan melihat wajah Sarah yang begitu pucat.

"Sarah, kau okey tak?Kenapa muka kau pucat sangat ni?"laju saja belakang tangannya menyentuh dahi Sarah. Spontan, Safiyyah menarik kembali tangannya kerana haba yang datang daripada tubuh Sarah.

"Jom, Sarah. Aku bawa kau pergi klinik. Panas sangatlah badan kau ni."Safiyyah cuba memapah tubuh Sarah. Tetapi, Sarah menepis.

"Mana mama dengan papa?"tanya lemah.

"Tuan dengan puan tak balik lagi. Diorang kan ada dinner kat hotel. Tak apalah, aku boleh bawa kau. Jom cepat, aku takut makin melarat pula nanti."gesa Safiyyah.

Akhirnya, Sarah akur. Perlahan-lahan, Safiyyah memapah tubuh Sarah menuruni tangga. Kemudian, dia terus memecut menuju ke klinik yang terdekat. Sepanjang perjalanan, hatinya berdoa, mudah-mudahan tiada apa-apa yang buruk terjadi ke atas Sarah.

********

     Sarah membuka matanya perlahan-lahan. Mindanya cuba dikerah, untuk mengingati apakah yang telah berlaku. Tubuhnya masih terasa lemah. Perkara terakhir yang mampu dia ingat adalah dia terpaksa ditahan di dalam wad.

     Sarah menoleh ke sisi. Dia melihat Safiyyah sedang tidur dalam posisi duduk sambil berbantalkan lengan. Mengenang kembali kebaikan Safiyyah terhadapnya, hati Sarah terasa sebak. Selama ini, dia selalu memperlekehkan Safiyyah kerana dia hanya anak Mak Jah. Anak orang gajinya. Baginya, Safiyyah tidak layak untuk berkawan dengannnya.

     Tetapi sekarang, hatinya begitu tersentuh dengan keprihatinan Safiyyah. Sesuatu yang sudah lama hilang daripada ayah dan ibu. Mereka berdua jarang bertemu kerana bersekolah menengah di sekolah yang berbeza. Dan kini, mereka juga menuntut di universiti yang berbeza. Sekarang merupakan cuti semester. Sebab itulah Sarah dapat berjumpa dengan Safiyyah untuk tempoh yang agak lama.

     Tanpa sedar, setitis air mata itu mengalir. Deras menuruni pipi.

"Terima kasih, Safi..."ucap Sarah dengan linangan air mata.

bersambung...

   




Comments