4.
Ramadhan tiba lagi. Tahun-tahun sebelum, kedatangan Ramadhan seakan tidak membawa erti buat diri Sarah. Tetapi tidak untuk tahun ini. Sejak kejadian dia ditahan di wad gara-gara demam panas tempoh hari, hubungannya dengan Safiyyah bertambah baik.
Lagi-lagi bila Ramdhan kali ini tiba. Mereka akan bertadarus bersama-sama. Kalau dulu, bangun untuk bersahur pun sangat jarang untuk Sarah, tetapi kali ini, setiap hari Safiyyah akan mengejutkannya untuk bertahajud dahulu. Kemudian, mereka akan bersahur bersama-sama.
Hatinya terasa makin tenang.
Jiwanya semakin tenteram.
Kerana Sarah mula mengenal makna indah yang tersembunyi disebalik dunia tarbiyah itu. Selama ini, dia sering tertanya, apakah yang membuat Safiyyah hidup begitu gembira, seakan tiada masalah yang dihadapi. Tetapi kini, dia tahu, kehidupan dan masalah memang tak dapat dipisahkan. Tetapi, orang yang beriman tak mudah melatah apabila diuji.
Bagi mereka, ujian itu tandanya Allah masih menyayangi. Ujian itu masa untuk meningkatkan iman di hati. Ujian menyebabkan Allah semakin hampir dengan diri. Kerana itu, apabila diri diuji, mengadulah kembali kepada Yang Maha Kuasa. Kerana hanya Dialah tempat bergantung yang paling ampuh.
Setiap jiwa fitrahnya menginginkan kebaikan. Dan Sarah juga termasuk dalam golongan itu. Yang hatinya mengharapkan sinar Ramadhan ini akan terus menyuluh perjalanan hidupnya kelak.
5.
"Sarah, kau nak tahu sesuatu?"Sarah berpaling ke arah Safiyyah. Tangannya yang sedang sibuk memilih sayur itu terhenti.
"Apa dia?"
"Aku sayangkan kau."ujar Safi bersama seulas senyuman.
Sebelah kening Sarah ternaik. tiba-tiba je Safi ni.
"Kau demam eh?"Sarah kembali meneruskan misi pencarian barang dapur mereka untuk memasak hidangan berbuka.
"Aku serius ni."nada tegas Safi membuat Sarah sekali lagi berpusing menghadap sahabatnya itu.
"Okey...okey..aku pun sayangkan kau."melihat kesungguhan Safi, Sarah turut membalas dengan jawapan yang serupa. Yang lahir tulus dari hatinya.
Mendengar jawapan Sarah, senyuman di bibir Safi makin melebar.
"Ok!Jom sambung cari sayur."laju Safi berjalan mendahului Sarah.
Melihat belakang tubuh Safi, Sarah menggelengkan kepala. Safi...Safi..ada-ada je kau ni la. Macam tak boleh tunggu balik rumah je nak cakap sayang kat aku. Kat tempat awam macam ni lah dia nak buat sesi luahan perasaan. Terima kasih Safi, sebab bawa cahaya Islam tu balik kat aku. Terima kasih sebab bawa aku kembali padaNYA.
6.
Dalam perjalanan menuju ke kereta, tiba-tiba Sarah merasakan tubuhnya ditarik kuat dari belakang. Sarah terkejut dan cuba untuk melawan tetapi gagal. Dia ingin menoleh ke belakang untuk melihat siapakah yang menariknya tetapi tangannya pantas dikilas dan mulutnya ditekup dengan sehelai kain.
Apabila menoleh ke sisi, Safi juga diperlakukan sama sepertinya. Pandangan matanya bertentang dengan Safi. Sarah tahu, Safi cuba untuk mententeramkannya melihat kepada renungannya, tetapi siapakah yang mampu tenang bila nyawa sendiri menjadi taruhan. Tambahan lagi, kawasan ini agak jauh daripada orang. Hati Sarah berasa gusar, bimbang dengan apa yang akan terjadi kepada mereka selepas ini.
Sarah cuba meronta, melawan pegangan kemas penjahat yang sedang mengikat tangannya, tetapi gagal.
"Kalau kau rasa nak hidup lama lagi, baik kau diam. Kalau tak, nahas kau!"kasar suara itu menampan pendengaran Sarah.
Safi juga berusaha untuk melepaskan diri tetapi tidak berjaya. Pegangan lelaki penjahat itu terhadap dirinya terlalu kuat dan dia tidak berdaya untuk melepasinya.
Sarah terasa sangat lemah ketika itu. Hendak meminta tolong, kawasan itu jarang dilalui orang. Apa sahaja boleh berlaku. Ada kemungkinan mereka akan diculik untuk dijadikan tebusan, atau dibunuh atau dijual ke luar negara.
Ketika mereka hampir tiba di MPV berwarna hitam yang telah tersedia tidak jauh dari situ, Safi tiba-tiba bertindak agresif. Pegangan yang longgar di tangannya membuatkan dia dapat meloloskan diri. Kemudian, tanpa menunggu lagi, Safi terus melayangkan sepakan deras kearah dua orang lelaki itu.
Keadaan mula menjadi kelam-kabut. Sarah terpegun dengan tindakan berani Safi. Tidak tahu dari mana Safi mendapat kekuatan untuk melawan. Dalam kesibukan Safi berlawan dengan penjahat itu, ada seseorang cuba melakukan serangan curi terhadapnya.
Melihat keadaan Safi yang berada dalam bahaya, Sarah terus merentap kuat tangannya dari pegangan salah seorang penjahat itu. Dia cuba untuk menolak penjahat yang sedang menghunus pisau itu ke tepi. Sarah berjaya apabila tubuh penjahat itu terjatuh ke atas tanah.
Tetapi, tindakan Sarah itu menambahkan amarah penjahat itu. Lantas, dia bangkit dan menghunus pisau itu ke arah Sarah. Jarak mereka yang amat dekat membuatkan Sarah tidak sempat untuk mengelak. Matanya terpejam rapat, seakan hatinya merelakan andai inilah pengakhiran nyawanya.
Tangan Sarah terasa panas. Apabila membuka mata, dia terlihat ada percikan darah merah di tangannya. Tetapi, tubuhnya tidak berasa sakit langsung di mana-mana. Apabila menoleh ke sisi, jantungnya seakan mahu rebah.
Kolam matanya terasa hangat. Bila-bila masa saja air mata akan tumpah. Hatinya berdetak kuat. Dunianya terasa kelam. Dengan matanya sendiri, Sarah melihat tubuh Safi terkulai di sisinya. Sarah pantas melutut, memangku Safi di ribanya. Sementara itu, penjahat itu segera beredar meninggalkan mereka.
Hati Sarah tidak berniat untuk mengejar penjahat itu. Saat ini, hatinya terasa bagai disiat-siat melihat Safi yang sedang berlumuran darah.
"Safi, kau kena bertahan. Aku bawa kau pergi hospital. Bertahan Safi, kau kena kuat. Aku tak akan benarkan kau mati."dengan seluruh kudratnya, Sarah cuba untuk mengangkat tubuh lemah Safi untuk dibawa ke hospital.
"Tak perlu, Sarah. Jangan susahkan diri kau. Dah tiba masanya untuk aku pergi..."dengan suara yang tersekat..Safi cuba untuk berbicara.
Sarah menggenggam erat tangan Safi. Dia menggelengkan kepala.
"Belum..belum tiba lagi masanya. Macam mana dengan aku kalau kau tak ada nanti, Safi. Siapa lagi yang akan tolong aku?Siapa lagi yang akan jadi sahabat aku nanti?"lirih Sarah menuturkan.
"Aku cuma manusia, Sarah. Manusia pasti akan mati satu hari nanti. Ingat pesan aku, walaupun seluruh dunia nanti pinggirkan kau, walaupun tak ada langsung orang yang tinggal untuk kau mengadu, Dia selalu ada untuk kau luahkan segalanya. Bila mana kau ada masalah, kembali padaNYA, sebab dialah sebaik-baik tempat pergantungan...."suara Safi semakin perlahan. Genggaman tangannya juga semakin longgar.
"Aku sayangkan kau.."suara Safi sekali lagi kedengaran sebelum perlahan-lahan dadanya berhenti berombak.
Matanya sudah terpejam rapat.
Tangannya terlepas dari genggaman tangan Sarah.
Bibirnya perlahan mengucap kalimah syahadah.
Dan, air mata Sarah kembali menitis. Menitis dan terus menitis. Seakan tiada noktah. Hatinya benar-benar pilu.
Jiwanya terasa kosong tiba-tiba.
Dunianya menjadi gelap. Bagaikan cahaya matahari sudah tak lagi bersinar.
Dan hakikat yang amat pahit untuk ditelan, Safiyyah sudah pun meninggalkan dunia ini, untuk selama-lamanya..
bersambung>>>
Comments
Post a Comment