Aduhai wanita~

Bismillahirrahmanirrahim~


"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." Mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami di sini bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?" Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

( Surah Al-Baqarah : 30 )


     Rentetan daripada itu, penciptaan Adam, sebagai manusia pertama dimulakan. Setelah sempurna bentuk fizikal Nabi Adam, lantas roh pun ditiupkan. Dan Allah memerintahkan agar para malaikat dan Iblis untuk tunduk dan sujud kepada Nabi Adam, tetapi, dek kerana sombong, iblis enggan dan akibatnya dibuang keluar dari syurga.

     Hidup bersendiri di syurga terasa amat sepi. Lantas, Nabi Adam pun memohon kepada Allah agar diberikan seorang teman untuk mengisi kesunyian yang dirasai.

Dan, Hawa pun tercipta.

Untuk mengisi dan menemani hari-hari Adam.

Hawa. Juga dipanggil sebagai perempuan. Wanita. Gadis. Ibu. Isteri.

Fitrah wanita, dijadikan nalurinya halus, punya jiwa yang lembut, hati yang penyanyang, dan diri yang sensitif serta mudah tersentuh.

Untuk memahami seorang insan bernama wanita ini juga bukannya mudah. Ada kalanya, bibir mengatakan tidak, tapi di dalam hati penuh dengan perkataan ya.

Bila ada yang melakukan kesalahan terhadapnya, mudah untuk hatinya memaafkan, tapi, hal itu akan berbekas di hati dalam tempoh yang lama.

Ada juga lahirnya tampak sangat tegas, serius, penuh dengan keberanian, tapi sebaliknya, hatinya sangat lembut dan mudah tersentuh.

Dan ada juga yang zahirnya tampak lemah-lembut dan halus pekertinya, tapi, jiwanya amat keras dan sukar untuk melenturkannya.

  Mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok
  Jika datangnya dari kayu yang bengkok
  Begitulah peribadi yang dibentuk
  Didiklah wanita dengan keimanan
  Bukannya harta, ataupun pujian
  Kelak tidak derita, berharap pada yang binasa

Dahulu, maruah wanita diinjak, dilempar hingga jatuh ke tahap paling rendah sekali. Wanita waktu itu cumalah barang mainan yang boleh diperdagangkan dan digunakan sesuka hati.

Namun, Islam muncul dan mengangkat tinggi darjat seorang wanita. Mengakui dan menghargai sumbangan serta perjuangan serikandi-serikandi Islam dahulu, untuk menyebarkan syiar Islam ke serata dunia.

Oleh itu, wajarkah sekarang, maruah itu kembali kita lontar ke tahap yang rendah, malah mungkin lebih rendah berbanding ketika zaman jahiliyyah dahulu?

Aurat didedahkan sesuka hati, tanpa langsung ada rasa malu.

Pandangan mata yang tidak ditundukkan.

Ketawa kuat-kuat macam tak ingat dunia.

Haruman yang dipakai terlalu kuat hingga menarik perhatian lelaki.

Iklan-iklan komersial menjadikan wanita sebagai model.

Dan banyak lagi, hingga tak mampu nak disebut dan diungkap satu persatu.

Dunia itu adalah perhiasan dan sebaik perhiasan adalah wanita solehah

Duhai wanita,
hiasilah dirimu dengan pakaian taqwa,
cantikkan akhlakmu dengan peribadi Muslimah,
basahkan lidahmu dengan zikrullah,
nescaya,
bidadari syurga pun akan mencemburuimu..






Comments