
Mata masih tak lepas memerhati ke arah sudut itu. Pemandangan yang dia tak nafikan memang wujud tapi serasanya tak pernah dia hadapi depan mata. Dia ralit memerhati pasangan itu. Mungkin mereka suami isteri. Dia meneka. Cuba untuk berprasangka baik.
Walaupun begitu, bukan kerana mereka suami isteri dia tertarik untuk terus memerhati. Sebaliknya kelakuan pasangan itu yang ternyata berbeza dan unik sampai menarik minatnya begitu sekali.
Dia melihat si perempuan cuba untuk memberitahu sesuatu kepada pasangannya. Tapi bukanlah dengan kebiasaan kita berbicara. Sebaliknya dengan menggunakan bahasa isyarat.
Dan dia terus memandang ke arah si lelaki. Untuk melihat apakah yang akan dilakukan oleh si lelaki sebagai balasannya kepada si perempuan itu.
Dengan senyuman, si lelaki membisikkan sesuatu ke tepi telinga perempuan itu. Kemudian si perempuan itu pun membalas. Dengan menggunakan bahasa isyarat pastinya. Mereka meneruskan perbualan itu. Kadang-kala dia melihat si lelaki berkata sesuatu sebagai balasannya. Dan adakalanya si lelaki meletakkan dirinya sama tahap dengan si perempuan itu, maka si lelaki menggunakan bahasa isyarat juga.
Sejenak, dia terfikir sendiri, pernah ada saat dalam hidupnya, dia terasa ingin berbicara tentang rasa hatinya yang tersimpan. Adakalanya, pernah dia terasa ingin meluahkan apa saja masalah yang dia hadapi, mengadu tentang sukarnya waktu-waktu yang perlu dilalui, dan berharap akan ada yang berada di sisi, untuk menemani dengan membisikkan kata-kata semangat.
Tapi, jarang dia dapat berjumpa dengan seseorang yang benar2 dapat memujuk hatinya, yang boleh mendengar setiap luahan kata-katanya dengan tekun. Yang dapat mendengar hatinya berbicara. Kerna ada perkara yang tak mampu nak diluah dengan kata-kata.
Bila manusia sudah tak mampu lagi untuk mendengar, dia akhirnya sedar, kasih insan itu bermusim, ada turun naiknya, mungkin ada yang tulus menyanyangi tanpa syarat, tapi kehadirannya umpama permata dalam timbunan kaca.
Lantas, untuk tidak bertambah kecewa..dia pun berpaling arah, menagih simpati Yang Maha Kuasa. Dengan-NYA, dia curahkan segala-galanya, dia adukan segala isi hati, dia biarkan hatinya berbicara sebebas-bebasnya, kerna Yang Maha Kuasa itu adalah pemilik segala hati.
Sesekali, kita perlu meminjamkan bukan sekadar telinga tetapi juga hati untuk mendengar bicara orang di sekeliling kita. Sebab lumrah manusia, selalu ingin didengari. Dan sebab itu juga kita diciptakan dengan dua telinga dan satu mulut. Supaya lebihkan mendengar dan kurangkan bercakap.
Bila mendengar dengan hati, maka kita akan turut merasai, dari situ lahirlah empati, terhadap apa yang orang lain hadapi, jadi kita dapat sama2 berkongsi, serta meringankan beban yang dimiliki..
^-^
#erti.hidup.pada.memberi.
#everything.happens.for.a.reason.
Comments
Post a Comment