Selagi masih ada kesempatan

Rasa cinta itu adalah anugerah. Dan rasa itu adalah rahsia Tuhan.

Manusia tak akan pernah tahu bilakah mereka akan menerima anugerah rasa itu, pada waktu bila atau bila rasa itu akan diluputkan dari hati mereka. 

Dan kerana itu, selagi mana punya waktu, cintailah mereka yang berada di sekeliling kita, kasihilah mereka yang turut mengasihi kita. 

Kerana kita tidak akan tahu, bila waktu semua rasa akan terluput dari hati, hilang dari ingatan, dan pudar dari jiwa seorang manusia.

Belajar untuk menghargai pengorbanan setiap insan yang pernah kita kenali bukan lah sesuatu yang mudah. Kerana walaupun perkenalan kita dan mereka singkat, mungkin sahaja ada sumbangan yang pernah disalurkan kepada kita tanpa sedar mahupun tidak.

Terkadang kita sering mengabaikan ucapan terima kasih dan minta maaf. Dua perkataan yang sangat mudah untuk disebut, tapi payah sekali untuk diluahkan kepada orang lain.

Sering kita abaikan keperluan insan yang terdekat, terutamanya keluarga dan rakan-rakan karib. Payah sekali untuk dituturkan ungkapan sayang kepada mereka, kerana sudah terpahat dalam fikiran, mereka pasti akan kita temui lagi.

Saya sering memerhati kawan-kawan atau orang sekeliling yang sudah melalui oeritnya perpisahan itu. Dan perpisahan tu bukanlah yang sementara, sebaliknya sesuatu yang abadi. Dan mereka yang tersayang itu tidak akan kita temui lagi buat selama-lamanya. Hanya yang dapat memujuk hati mereka adalah, perpisahan di dunia ini adalah suatu yang pasti, dan kita sering mengharapkan bahawa akan ada lagi pertemuan kelak, di syurga-Nya nanti.

Waktu akan terus berlalu, untuk kita semua, cuma bilakah masanya waktu itu akan terhenti, kita tidak akan pernah tahu.








Comments