Imperfection~1



Helaian kertas diselak lagi. Pelbagai memori lalu menerjah masuk ke ruang ingatannya. Ada memori indah dan manis, lalu mencambahkan senyuman di bibirnya. Dan bila ada memori duka yang cuba untuk dilupuskan dari ingatan mulai teringat, tubir matanya terasa basah, dan jiwanya kembali mengingati pedih yang terasa dari waktu itu.

Ujian Allah itu datang bukan bermakna Dia membenci kita sebagai hambaNya, namun itu adalah tanda kasihnya Dia terhadap kita.

Saat ayat itu memenuhi ruang pandangannya, hatinya terasa sedikit sayu. Dan sebak mulai bertandang. Ayat itu sangat memberi erti kepadanya. Kerana ayat itu diungkapkan oleh seorang sahabat kepadanya saat dia terasa ingin rebah.

Saat dia memikirkan betapa perlunya dia berubah, selepas memerhati mereka di sekelilingnya. Selepas mindanya sentiasa berkira-kira, meneliti perangai dan sikap mereka. Dan konklusi yang dijumpai adalah, dia perlu menjadi seperti mereka. Ya, dia nekad untuk mengubah dirinya.

Beberapa hari selepas keputusannya untuk melakukan perubahan itu, dia terasa sedikit lelah. Tetapi tetap hatinya digagahkan untuk dia teruskan. Baginya, sekali keputusan sudah dilakukan, takkan ada ruang untuk dia berundur kembali.

Hidupnya yang dijalani dahulu dan sekarang, sangat bertentangan. Kalau dahulu, dialah mungkin orang yang akan selalu berada di saf yang paling belakang ketika waktu solat berjemaah. Namun sekarang, wajahnya sering dilihat di saf-saf yang di hadapan.

Kalau dahulu, kehadirannya ke kelas boleh dikira dengan jari, namun sekarang, senarai kehadiran, kotak namanya sentiasa penuh. Dia cuba untuk hadir juga walaupun ada kalanya terlambat.

Kalau dahulu, tutur katanya sentiasa kasar, Mencarut, memaki dan menengking memang tak boleh berpisah dari pertuturannya seharian. Namun sekarang, dia cuba menghadkan kata-katanya yang kasar, nadanya cuba direndahkan supaya tiada yang terasa hati dengan tutr katanya.

Waktu malamnya tidak lagi dipenuhi dengan geng-geng rempitnya, sebaliknya dia mula berjinak-jinak dengan ceramah-ceramah atau forum yang sering dianjurkan di universiti.

Hidupnya terasa semakin gembira, jiwanya terasa semakin lapang, dan dia merasakan suatu ketenangan yang tidak pernah dia peroleh selama ini. Seolah-olah dia mendapat nafas baru dalam kehidupannya yang dirasakan kelam daripada cahaya.

Segalanya terasa berjalan dengan lancar, sebelum tiba ke hari itu, hari yang di mana mulai terdetik rasa sesal itu di hatinya.

Comments