Kisah tentang Sara


Cuaca petang itu kelihatan mendung. Semendung wajah Sara. Kepalanya masih ligat memikirkan peristiwa tadi. Selama ni dia cuba untuk tak endahkan perkara itu. Sebab baginya, pandangan orang lain tak penting bagi dia. Selagi dia cuba untuk hidup dengan telunjuk orang, selagi itu dia takkan pernah merasakan kebahagiaan secara total dalam hidupnya.

Dia mula mengenang kali pertama dahulu dia menjejakkan kaki ke tempat ini. Dirinya penuh dengan perangai liar, yang tak terkawal. Amarahnya kerap kali meletus, tanpa mengira tempat ataupun masa.

Tapi, seiring masa berlalu, dia mula sedar, bahawa tak selamanya dia mampu untuk hidup seperti itu. Lalu, sedikit demi sedikit, dia mula belajar untuk bersabar. Sedikit demi sedikit, dia mula belajar erti berkongsi. Erti untuk menahan amarah daripada meletus sesuka hati.

Dan melihat kembali sorotan perjalanan hidupnya, dia sudah merasakan satu pencapaian yang boleh kata membanggakan. Dia sudah boleh berfikir dahulu sebelum mahu bertindak sesuka hati tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada tindakannya.

Tetapi, makin lama, hatinya terasa sesak. Dadanya terkadang terasa sempit. Dia cuba untuk menjadi bahu sandaran orang lain. Dia cuba untuk menjaga hati orang-orang di sekelilingnya. Dia tak lagi meluahkan apa yang dia rasa pada saat dan ketika itu juga.

Dan, saat itu, Sara tersedar, dia terlalu ingin menjaga hati dan perasaan orang lain sampaikan luka di hati sendiri dia tak mampu untuk merawatnya. Dia terlalu memikirkan apakah orang akan berkata-kata dengan tindakan dia, sehingga dia sudah hilang rasa untuk memuaskan hati sendiri. Dia sudah kerap meminta maaf atas keterlanjuran perbuatannya sehingga tiada satu pun perbuatan dia akan dilakukan tanpa diringi dengan penjelasan selepas itu.

"Just be Yourself."

'Kerana kamu adalah kamu. Dan tiada lagi yang istimewa seistimewa kamu. Kerana aku akan terus berada di sisi kamu walaupun ramai yang mungkin akan meninggalkan kamu. Kerana kamu adalah cantik dengan cara kamu yang tersendiri. Usah hiraukan pandangan orang lain, kerana bagi aku, mana ada manusia yang sempurna di dunia ini.'

Andai ada yang membisikkan kata-kata itu, pasti Sara akan cukup merasakan perasaan untuk berterima kasih yang tak terhingga.


Comments