Pelangi Petang


Aku melangkah dan terus melangkah
Tanpa mempedulikan sakit yang semakin menusuk di tapak kaki
Akal berkeras meminta aku menghentikan kegilaan ini
Tapi hati enggan akur, masih tetap berdegil.

Apakan yang boleh dikatakan lagi,
Terkadang kerajaan hati itu terlampau berkuasa
Hingga ia kerap menidakkan nasihat akal
Terlampau mahu mengikut kemahuan sendiri,
Hingga terkadang mampu mengundang ke jalan kebinasaan
Dek kerana terlalu mengikut kata hati.

Dan akhirnya menuju ke titik terakhir di perjalanan itu
Aku terhenti seketika
Melihat indahnya pemandangan yang hadir di depan mata
Yang hadir bagaikan cahaya, menyuluh sinar
Warnanya kelihatan cukup memukau
Mendamaikan hati yang sedang berkocak ini.

Sesaat, dua saat, ku kira cukup dengan aku membilang saat yang berlalu
dan pemandangan indah itu semakin pudar
jauh dan semakin menjauh
tak mampu untuk aku gapai
tak terdaya untuk aku mengejarnya lagi.

Kepenatan itu sudah cukup banyak menguasai segenap ruang dalam diri
dan ianya menghalang aku untuk terus berlari
mengejar pemandangan indah itu
sebuah pemandangan yang membuat aku terleka seketika
walau hanya sekejap cuma, aku tertanya sendiri
adakah aku bahagia
atau bahagia itu hanyalah sekadar ilusi
yang aku reka sendiri.

Saat bibir mula mengorak sebuah senyuman
lewat kusedari yang pemandangan itu
ternyata mampu menghadirkan sekelumit bahagia
menjadi sebuah cahaya
dalam kelamnya episod kehidupan yang aku lalui
atau mungkin menjadi satu antara pelbagai warna-warna
dalam jalan kehidupan yang aku lalui.

Pemandangan itu,
Pelangi petang itu,
hadirnya walaupun sekejap cuma
namun cukup membawa seribu satu erti buat diri.

Bagai pelangi petang kau kan pasti..
Pergi jua..




NAA,
22/8/2017.





Comments

  1. Bersabarlah untuk pemandangan yang pasti akhirnya indah :)

    ReplyDelete

Post a Comment